Unit Pengurusan Psikologi mula diwujudkan di KSM pada tahun 2008 yang menempatkan seorang Pegawai Psikologi. Sehingga kini, unit ini dianggotai seramai 2 orang Pegawai Psikologi dan seorang Penolong Pegawai Psikologi.
Tujuan utama pengwujudan unit ini di semua kementerian dan jabatan adalah untuk membangunkan modal insan dengan penerapan aspek psikologi dan kaunseling.
Kaunseling adalah hubungan berbentuk dua hala. Pegawai Psikologi cuba mendengar, memberi layanan yang baik dan memahami isu yang dihadapi klien. Manakala klien memperihalkan isu, memahami dan mengambil tindakan mengurus isu yang dihadapi. Pegawai Psikologi menerima dan menghormati klien serta membina hubungan kemanusiaan yang positif.
Kaunseling bukan nasihat. Pegawai Psikologi tidak akan memberi jawapan secara langsung terhadap semua persoalan klien, kerana apa yang baik untuk Pegawai Psikologi tidak semestinya baik kepada klien. Keistimewaan perkhidmatan kaunseling adalah membimbing klien mencari sumber dirinya yang menyumbang kepada isu yang dihadapi.
Kaunseling memegang prinsip kerahsiaan. Ini bermakna segala rekod dan urusan surat-menyurat yang berkaitan dengan perkhidmatan kaunseling adalah RAHSIA dan SULIT mengikut Peraturan Kaunselor (Kelakuan dan Tatatertib) 1999 dan Akta Kaunselor 1998.
Semua warga KSM yang mempunyai isu atau perkara yang ingin dikongsi bolehlah menghubungi Pegawai Psikologi KSM.