Pekerjaan & Standard Perburuhan

Akta Kerja 1955 (Akta 265)

Akta ini merupakan undang-undang buruh utama yang dikuatkuasakan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan yang mengawal hubungan antara majikan dan pekerja di sektor swasta. Ia mengandungi peruntukan mengenai hak-hak pekerja dan standard-standard minimum penggajian. Akta ini memberi perlindungan kepada pekerja-pekerja bukan manual yang bergaji tidak melebihi RM2,000 sebulan dan pekerja-pekerja manual tanpa had gaji.

Ordinan Buruh (Sabah Bab 67)

Akta ini merupakan undang-undang buruh utama yang dikuatkuasakan di Sabah yang mengawal hubungan antara majikan dan pekerja di sektor swasta. Ia mengandungi peruntukan mengenai hak-hak pekerja dan standard-standard minimum penggajian. Akta ini memberi perlindungan kepada pekerja-pekerja bukan manual yang bergaji tidak melebihi RM2,500 sebulan dan pekerja-pekerja manual tanpa had gaji.

Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76)

Akta ini merupakan undang-undang buruh utama yang dikuatkuasakan di Sarawak yang mengawal hubungan antara majikan dan pekerja di sektor swasta. Ia mengandungi peruntukan mengenai hak-hak pekerja dan standard-standard minimum penggajian. Akta ini memberi perlindungan kepada pekerja-pekerja bukan manual yang bergaji tidak melebihi RM2,500 sebulan dan pekerja-pekerja manual tanpa had gaji.

Akta Standard-Standard Minimum Perumahan & Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446)

Akta ini memperuntukkan standard-standard minimum bagi perumahan dan kemudahan asas pekerja dan orang tanggungannya. Akta ini hanya terpakai di Semenanjung Malaysia.

Akta (Penggajian) Kanak-kanak dan Orang Muda 1966 (Akta 350)

Akta ini mengawal dan menetapkan syarat penggajian kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dan orang muda di bawah umur 18 tahun dalam jenis pekerjaan yang sesuai dan dalam perusahaan tertentu.

Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246)

Akta yang menyatakan bahawa seseorang yang ingin menjalankan urusan agensi pekerjaan swasta hendaklah mempunyai lesen sah daripada Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia. Akta ini dan peraturan-peraturan di bawahnya adalah bertujuan untuk mengawal aktiviti agensi pekerjaan swasta serta menjaga kepentingan pencari-pencari kerja yang warganegara Malaysia sama ada di dalam atau di luar negara.

Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670)

Akta ini merangkumi 3 aspek iaitu pendakwaan, pencegahan dan perlindungan mangsa. Ia bertujuan untuk membasmi masalah pemerdagangan orang melibatkan warganegara dan bukan warganegara secara holistik.

Akta (Sekatan) Kerja 1968 (Akta 353)

Akta untuk mengawal selia sekatan pekerjaan dalam aktiviti perniagaan tertentu di Malaysia bagi orang yang bukan warganegara dan pendaftaran orang tersebut dan untuk perkara yang berhubung dengannya.

Akta Maklumat Pekerjaan 1953 (Akta 159)

Akta ini memperuntukkan agar pengumpulan maklumat berkaitan terma-terma perkhidmatan dan syarat-syarat kerja bagi orang yang digaji seperti bilangan orang yang masih digaji oleh majikan, terma-terma kontrak yang diikat antara majikan dan pekerja, waktu bekerja, cuti umum, cuti rehat, tempoh rehat, jenis tugas yang dilaksanakan, struktur gaji dan kelayakan yang diperlukan bagi tiap-tiap jawatan.